Thursday, December 6, 2007

Kisah Pokok Epal

Pada suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar.
Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal
itu. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas
hatinya, dan ada kalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal
tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok
epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu, budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia
tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal
tersebut. Namun begitu, pada suatu hari dia datang kepada pokok epal
tersebut dengan wajah yang sedih.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau,"
jawab budak remaja itu. "Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk
membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah buah yang ada padaku.
Juallah buahku untuk mendapatkan wang. Dengan itu, engkau dapat membeli
permainan yang kauinginkan."

Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi
dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu berasa sedih.
Masa berlalu. Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa.
Pokok epal itu berasa gembira.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang.
Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku.
Bolehkah engkau menolongku?" tanya budak itu.

"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong
dahan-dahanku yang besar ini dan kaubuatlah rumah daripadanya." Pokok epal
itu memberikan cadangan.

Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu
dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi
kemudiannya dia berasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas
itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia
sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal
itu. Dia telah matang dan dewasa.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di
sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar.
Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kaumenolongku?" tanya lelaki
itu.

"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepadamu. Tetapi kau boleh memotong
batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan
gembira," cadang pokok epal itu.

Lelaki itu berasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia
kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas
itu. Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah
usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah
bermain di sekitar pokok epal itu.

"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepadamu. Aku sudah
memberikan buahku untuk kaujual, dahanku untuk kaubuat rumah, batangku untuk
kaubuat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati...," kata
pokok epal itu dengan nada pilu.

"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku
tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu
batang pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk belayar lagi, aku berasa
penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.

"Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua
itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua
menangis kegembiraan.
________________________________________________________________________

MAKSUD KISAH POKOK EPAL

Cerita ini sengaja dipaparkan untuk mengajak para remaja berfikir tentang
pengajaran di sebalik cerita tersebut. Sebenarnya, pokok epal yang
dimaksudkan dalam cerita itu ialah kedua-dua ibu bapa kita. Apabila kita
masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat remaja,
kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka,
dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita di dalam kesusahan. namun
begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa sahaja asalkan kita
bahagia dan gembira dalam hidup.

Anda mungkin terfikir bahawa budak lelaki itu bersikap kejam terhadap pokok
epal itu, tetapi fikirkanlah, itu hakikatnya bagaimana kebanyakan anak-anak
masa kini melayan ibu bapa mereka. Hargailah jasa ibu bapa kepada kita.
Jangan hanya kita menghargai mereka semasa menyambut hari ibu dan hari bapa
setiap tahun. Semoga kisah ini memberikan keinsafan dan kesedaran kepada
remaja kita.

No comments: