Wednesday, December 5, 2007

Takwil al-Quran: Lapan tanda amalan ikhlas kerana Allah

FIRMAN Allah Taala bermaksud: "Pada hal mereka tidak
diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan
mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di
atas tauhid; dan supaya mendirikan solat serta memberi
zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar".
(Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Menerusi ayat di atas, Allah SWT memerintahkan supaya
setiap orang mengikhlaskan hidupnya semata-mata kepada
Allah Taala. Ia digambarkan melalui dua bentuk ibadat
khusus iaitu solat sebagai hubungan antara manusia
dengan Allah dan ibadat zakat yang menghubungkan
antara manusia dengan manusia.

Ertinya segala aktiviti hidup seorang Muslim hendaklah
ikhlas kerana Allah Taala. Dengan demikian, ikhlas
dalam konteks sebagai seorang Muslim bermaksud ia
mestilah mengharapkan keredaan Allah dan ganjaran
pahala daripada-Nya. Justeru itu, segala kata-kata,
amal perbuatan dan jihad perjuangannya tidak mengambil
kira sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran mahupun
kedudukan tinggi. Baginya, syarat amalan yang diterima
Allah ialah niat yang ikhlas dan bertepatan dengan
syariat dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Dalam hal ini, ulama telah menggariskan tanda-tanda
ikhlas itu kepada beberapa perkara sebagai berikut:

Pertama, takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh
membawa kepada fitnah sama ada kepada dirinya mahupun
agamanya, terutama sekiranya ia seorang yang
berkebolehan. Kerana ia yakin bahawa Allah menerima
sesuatu amalan itu berdasarkan batin, bukan lahirnya
semata-mata.

Kedua, orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya
cuai terhadap Allah, lalai dalam melaksanakan ibadat,
tidak dapat mengawal hati daripada dimasuki sifat
bangga diri, sombong dan kagum dengan diri sendiri.

Ketiga, lebih suka melakukan amalan atau kerja secara
sembunyi daripada diiklankan dan mencari populariti.
Dalam konteks sebuah organisasi, ia lebih suka menjadi
tunjang pokok walaupun tiada yang nampak kerana berada
dalam perut bumi, namun ia adalah asas bagi pokok itu
hidup, tegak dan kuat.

Keempat, baginya sama saja berkerja sebagai pemimpin
atau pengikut, selagi kedua-duanya adalah berkhidmat
untuk agama. Hatinya tidak dapat dipengaruhi perasaan
cinta untuk muncul ke depan atau berada di barisan
hadapan.

Kelima, tidak menghiraukan kepuasan hati manusia
sekiranya ia membawa kepada kemurkaan Allah Taala.

Keenam, suka atau bencinya, memberi atau menolaknya,
rela atau marahnya, semuanya kerana Allah Taala dan
agamanya.

Ketujuh, ia tidak bersifat malas, lemah disebabkan
perjalanan yang jauh, lambat dapat memetik hasil dan
lambat mencapai kejayaan.

Kelapan, gembira dengan kemunculan orang yang
berkelayakan dalam barisan perjuangan bersamanya.

Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan bahawa syaitan
sama sekali tidak mampu menguasai orang yang bersifat
ikhlas, sebagaimana firman-Nya bermaksud: "Iblis
berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah
memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan
mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi
dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,
kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas di antara
mereka".
(Surah al-Hijr, ayat 39-40)

Al-Fudhail bin Iyadh, seorang ulama terkenal ketika
mendengar firman Allah yang bermaksud: "(Allah) Yang
menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu,
siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia
Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". ( Surah al-Mulk,
ayat 2), lalu berkata: Sebaik-baik amal itu ialah yang
paling ikhlas dan yang paling betul.

Kemudian ia ditanya: "Bagaimana yang paling ikhlas dan
betul itu ? Jawabnya: sesuatu amal itu sekiranya ia
ikhlas tetapi tidak betul, maka ia tidak diterima, dan
sekiranya ia betul tetapi tidak ikhlas juga, maka ia
tidak diterima. Jadi, ia hendaklah memiliki kedua-dua
sekali iaitu ikhlas dan betul.

Ikhlas hanya semata-mata kerana Allah dan betul pula
mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Kemudian beliau
membaca firman Allah Taala bermaksud: "Barang siapa
mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia
mengerjakan amal salih dan janganlah ia
mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada
Tuhannya".
(Surah al-Kahf, ayat 110)

No comments: