Wednesday, December 5, 2007

Kisah Abu Laits Samarqandi

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Tuesday, December 4, 2007

Sajak: Peliknya Umat ini

Untuk renungan semua….



Peliknya umat ini....
Bola punya hal,pukul 3 pagi pun boleh bersengkang mata.
Bola punya hal,ringan aje tubuh untuk bangun diwaktu ayam pun tak bangun lagi
Tapi,pukul 3 pagi akan jadi terlalu berat untuk bangun
jika disuruh tahajjud 2 rakaat,
diwaktu sahur cukup menyeksakan baginya. (Alamak! terkena!)

Peliknya umat ini....
Menangis teresak-esak sebab penyanyi pujaan terkeluar dari Akademi Fantasia
air mata sungguh murah melimpah apabila artis pujaan turut
menangis namun,
berapa sangat umat ini yang sudi melinangkan air matanya sebagai
taubat kepada yang Esa?
berapa sangat umatku yg menangisi kerana kematian
seseorang ulama dan solehin?

Peliknya umat ini....
SMS berpuluh ringgit dengan senang hati dihantar, janji penyanyi
pujaan terpilih. Jari-jemari begitu ringan menaip nama penyanyi pilihan
dan nombor undian. Tapi, jari jemari begitu berat utk mengambil seringgit
utk dimasukkan kedalam tabung masjid. Tangan begitu kaku utk menghulurkan
seringgit dua ke jalan Allah.

Peliknya umat ini....
Gembira dia sebab anak pandai menyanyi dan pandai main piano. Sedih
sekali dia apabila anaknya tak dapat masuk Akademi Fantasia. Malaysian
Idol, namun, tak ramai umat ini yg sedih jika zuriatnya buta al-Quran,
tak ramai umat ini yg resah jika anaknya tidak tahu sujud kepada yang Esa.

Peliknya umat ini....
Sanggup bersesak-sesak, berhimpit- himpit dipadang konsert hiburan..
sanggup memberi komitmen memenuhi dan memeriahkan konsert hiburan
sedihnya..
program Allah 5 kali sehari di Masjid
tidak dapat sambutan meriah dari umat ini
mereka tidak sanggup untuk berdiri dlm saf
walaupun 5 minit cuma.

Peliknya umat ini....
Setiap tahun adanya pertandingan tilawah al-Quran tak cukup
peringkat kebangsaan..
dibuat peringkat antarabangsa tapi,
dengan al- Quran masih lagi bersikap ikut selera mana rasa elok,
diamalkan..
mana rasa tak elok untuk nafsu,baca aje dah le.

Peliknya umat ini....
Setiap tahun mereka sanggup menjadi penunggu setia kepada jam 12
mlm pada hari merdeka, pada hari tahun baru jam 12 mereka akan bersorak
ramai-ramai. .
tak kira lelaki perempuan detik saat jam 12 ,
saat yg ditunggu-tunggu tanpa berkedip mata melihat jam besar.
sedihnya..
tak ramai yg mampu dan mahu menunggu waktu solat lebih awal di masjid

Peliknya umat ini....
Setiap kali aku menulis fakta yang benar dan kenyataan tentang
bangsaku, dan saudara seislamku ,
pasti ada suara2 sumbang dan lantang
yang cuba mempertikaikannya umpama menegakkan benang yang basah.

Tak salah rasanya kalau kita sedar dan menyedarkan. ....

Hadith Mengenai Ikhlas

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إن أول الناس يقضى يوم القيامة عليه رجل استشهد فأتي به فعرفه نعمه فعرفها قال : فما عملت فيها ؟ قال : قاتلت فيك حتى استشهدت قال : كذبت , ولكنك قاتلت ليقال جريء , فقد قيل : ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار , ورجل تعلم العلم وعلمه , وقرأ القرآن فأتي به فعرفه نعمه فعرفها قال : فما عملت فيها ؟ قال : تعلمت العلم , وعلمته , وقرأت فيك القرآن , قال : كذبت , ولكنك تعلمت ليقال : عالم , وقرأت القرآن ليقال : قارئ فقد قيل ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار ورجل وسع الله عليه وأعطاه من اصناف المال كله ، فاتي به فعرفه نعمه فعرفها ، قال : فما عملت فيها ؟ قال : ماتركت من سبيل تحب أن ينفق فيها الا أنفقت فيها لك قال كذبت ولكنك فعلت ليقال هو جواد فقد قيل ثم أمر به فسحب على وجهه ثم القي فى النار




Dari Abu Hurairah ra, 'Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda' :

'Sesungguhnya yang pertama-tama diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang telah mati syahid. Setelah ia didatangkan, Allah swt memperingatkan nikmatNya dan ia pun mengakui nikmat-nikmat itu.'

Allah swt telah bertanya, 'Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?'. Orang itu menjawab, 'Saya telah berperang dijalanMu sehingga saya telah gugur syahid.' Allah swt berfirman, 'Kamu dusta, kamu berperang supaya dikatakan seorang pahlawan dan perkara itu telah diperoleh.' Kemudian Allah swt memerintahkan supaya dia diheret dengan mukanya terlangkup lalu dicampakkan ke dalam neraka.

Orang yang kedua ialah seorang lelaki yang telah belajar ilmu pengetahuan, mengajarkannya, dan juga membaca al-Quran. Dia didatangkan di hadapan Allah swt dan Allah swt memperingatkan nikmat-nikmatNya dan ia pun mengakui nikmat-nikmat itu.

Allah swt berfirman, 'Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?' Lelaki itu berkata, 'Saya telah belajar ilmu dan mengajarkan ilmu itu. Saya juga belajar al-Quran keranaMu.' Allah swt berfirman, 'Kamu dusta, sebaliknya kamu belajar supaya kamu dikatakan seorang yang alim dan kamu membaca al-Quran supaya kamu dikatakan seorang qari dan sesungguhnya perkara itu telah diperoleh.' Kemudian Allah swt memerintahkan supaya dia diheret dengan mukanya terlangkup lalu dicampakkan ke dalam neraka.

Orang ketiga ialah seorang lelaki yang Allah swt telah permudahkan rezeki baginya serta mengurniakannya dengan segala jenis harta. Maka dia didatangkan lalu Allah swt memperingatkan nikmat-nikmatNya dan ia pun mengakui nikmat-nikmat itu.

Allah swt berfirman, 'Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu? Orang itu menjawab, 'saya telah membelanjakan pada jalan-jalan yang Engkau suka, untuk keredhaanMu. Allah swt berfirman, 'Kamu dusta, kamu telah membelanjakannya supaya kamu dikatakan seorang dermawan dan sesungguhnya perkara itu telah diperoleh.' Kemudian Allah swt memerintahkan supaya dia diheret dengan mukanya terlangkup lalu dicampakkan ke dalam neraka.

(Hadith riwayat Muslim- dipetik dari kitab Misykat)

Buatlah setiap amalan semata-mata kerana Allah. Ikhlaskan setiap amalan kita. Berilah dengan tangan kanan sehinggakan tangan kiri tak tau.

Harimau, Tali, Buaya, Tikus dan Madu

Alkisah...

Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi... jeng!jeng!jeng! ... bunyi....aauuummmmm !!!!! Bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja. Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni.Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.

Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan matanya.Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi. Di mulut perigi, harimau yg lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. Tengah dok berfikir camner nak
selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi. Aaaaa!!!!...
Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya. Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. lagilah takut si hamba Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut. Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut. Sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak.
Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh.... cam ner ni. Pas tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, cit!cit!cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu. Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni.... habislah jadi mangsa buaya .
Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih... Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba.... terdengar satu bunyi.... uuuuuuuuuuuuu. .. bunyi lebah bawa madu. Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg
sedang bawa madu.
Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. Hamba Allah tu kata, "Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni.Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni."
Kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yg sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah.
Kalau semua nak tahu , si Hamba Allah itu adalah kita semua (aku dan korang semua). Harimau yg mengejar tu adalah maut , maut memang sentiasa mengejar kita,
so beringat-ingatlah. 2 ekor buaya itu adalah malaikat Munkar Dan Nakir yg menanti kita di alam kubur nanti. Tali yg tempat si hamba bergayut tadi adalah umur kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita.
Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang
sentiasa menghakis umur kita.Kan tikus tu gigit tali tu. Madu...,madu yg jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya,dia lupa pada harimau dan buaya tu. Macam sayalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak ingat Allah.

p.s : Kisah ini ditujukan khas untuk aku supaya aku tak lupa kemana aku akan pergi
selepas ini.
Astaghfirullah. ..

Sunday, December 2, 2007

Keindahan Mekah & Madinah





Tanggungjawab Wanita (Maulana Syamim)

Segala apa yang diciptakan oleh Allah SWT diciptakan untuk kita semua. Kita semua pula dijadikan untuk suatu maksud yang mulia, untuk membawa sifat-sifatyang mulia di dalam diri kita. Jangan kita lupa maksud kita kerana itulah keunggulan kita. Selagi kita menunaikan maksud ini, Allah SWT akan memberi faedah daripada segala ciptaannya.
Kalau kita abaikan maksud kita, kita tidak akan dapat manfaat daripada rupa dan bentuk iaitu wang, rumah, kecantikan, dsb. Malah kitaakan dapat kerugian.Maksud kita dihantar ke dunia ini bukan sekadar si-laki mencari makan dan si-perempuan masak, tapi adalah bagaimana kita boleh bawa agama kepada diri kita dan seluruh alam.
Dari hari pertama kerasulan,Rasulullah SAW tidak berseorangan, tetapi bersamanya adalah Khadijah R dA (seorang perempuan), Abu Bakar RdA(seorang lelaki), Ali KW (seorang budak), Zaid RdA(seorang hamba). Setiap macam orang dapat difahamkanmaksud hidup mereka.Yang paling awal masuk Islam adalah kaum wanita(Khadijah RdA).
Yang paling awal korban nyawa untukagama adalah kaum wanita (Sumaiyyah RdA). Yang paling awal korban harta untuk agama adalah kaum wanita(Khadijah RdA).Selepas Rasulullah SAW berjumpa Jibril AS, dipeluk,dsb. dan mendapat kenabian, yang beri dorongan utama dan ‘sympathiser’ utama adalah Khadijah RdA. Dia memujuk Rasulullah SAW dan membawanya berjumpa pakciknya Waraqah bin Naufal, yang mengatakan bahawa itulah malaikat seperti yang datang kepada Musa AS,dan kalau dia muda dia akan ikut Rasulullah SAW dan bersama Baginda SAW bila kaum Baginda SAW menghalau Baginda SAW. Rasulullah SAW ketakutan, dan Khadijah RdA bersimpati dan berakhlak baik dan dengan itu dapat sediakan hati Rasulullah SAW untuk memikul kenabian.Sejarah menunjukkan bahawa Nabi-nabi AS yang mendapat sokongan isteri-isteri mereka Rda lebih berhasil.Wanita mempunyai kuasa yang besar.
Kalau wanita beragama, maka agama akan tersebar ke seluruh manusia.Wanita diperbuat daripada tulang rusuk kiri. Tulang ini dekat dengan hati - wanita sangat mudah untuk mempengaruhi lelaki. Sebab itulah musuh Islam menggunakan wanita untuk rosakkan Islam – mereka merosakkan wanita-wanita Islam.Wanita mempunyai tanggungjawab yang besar. Wanita lebih ramai di dunia ini - wanita adalah 2/3 daripenduduk dunia. Kalau wanita beragama bermakna 2/3 dunia beragama. Walaupun tiada nabi wanita, tetapi setiap nabi a.s lahir daripada wanita. Ada nabi a.s tiada bapa tapi (selain nabi Adam a.s) tiada yang tiada ibu.
Wanitalah yang memberi dorongan dan didikan.Anak-anak dibentuk oleh ibu.Allah SWT telah beri wanita hikmah dan kebijaksanaan bagaimana nak ambil kerja dari orang lain. Misalnya,dia boleh suruh dan pujuk suami atau anak supaya pergike kedai 5 atau 10 kali. Bila ini digunakan untuk agama, mustahil suaminya atau anaknya tidak beragama,jika dikehendaki oleh seseorang wanita itu. Gunalah hikmah dan kebijaksanaan ini supaya rumahtangga kita jadi tempat tersebarnya hidayat. Kalau tidak, ia akanjadi tempat tersebarnya kesesatan.Sahabat Amar bin Jamuh RdA mempunyai kaki yang tempang tetapi hatinya ingin keluar ke jalan Allah SWT di medan Uhud. Isterinya sedih dan inginkan supaya beliau dapat pergi.
Isterinya gunakan hikmah sindiran dengan mengatakan bahawa beliau bukan betul-betul nak pergi sangat. Dengan itu, Amar bin Jamuh RdA pergi berjumpa Rasulullah SAW dan desak juga supaya dibenarkan pergi.Beliau ingin berjalan di syurga dengan kakinya yang tempang. Setelah dibenarkan, beliau pergi dan syahid di Uhud. Isterinya pergi ke Uhud untuk membawa mayat suaminya untuk ditanam di Madinah, tetapi unta yang membawa mayat itu tidak mahu pulang ke Madinah. Bila ditanya Rasulullah SAW, isterinya memberitahu yang beliau telah doa tiga kali supaya beliau tidak kembali ke keluarga. Rasulullah SAW beritahu yang doa beliau telah diterima. Beliau dikebumikan bersama para syuhada' di Uhud.Keinginan sahabiah RdA adalah supaya mereka bangun dihari qiamat dipanggil ibu kepada syahid, isteri kepada syahid, dsb.
Hari ini keinginan kita adalah bagaimana kita dapat rumah besar, dsb. Setiap sahabiah RdA berkeinginan untuk ahli keluarga mereka syahid lebih daripada keinginan kita untuk rumah besar. Ini semua kerana cinta mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.Ketika Uhud wanita-wanita telah mendengar khabar angin bahawa Rasulullah SAW telah wafat. Mereka bertanya kepada orang-orang yang balik daripada Uhud, mengapa mereka balik! Kalau begitu biarlah mereka yang balik ini memakai gelang-gelang mereka (yakni jadiperempuan) dan biarlah mereka yang pergi ke Uhud!Seorang wanita RdA diberitahu bapanya syahid, suaminya syahid, dan seterusnya, tetapi beliau bukan nak tahu ini - yang beliau nak tahu adalah samada RasulullahSAW selamat.
Bila beliau mengetahui yang RasulullahSAW selamat, beliau syukur yang Rasulullah SAW selamat, yang bermakna agama selamat. Jika Rasulullah SAW tak selamat walaupun suaminya dsb. selamat, ugama tak juga selamat. Beginilah semangat mereka.Sekiranya wanita mahu kembangkan agama di dalamrumahnya, Allah SWT akan buat sebab Allah SWT telahberi kebolehan kepada mereka. Di tempat saya adaseorang doktor yang isterinya kuat agama dan dia ingin menyuruh suaminya simpan (pelihara) janggut.
Dia telah bermesyuarat dengan isteri tukang rambut dan menyuruhnya datang ke rumah dan tajamkan pisau. Bila suaminya bertanya kenapa, dia kata dia nak cukur rambutnya. Suaminya kata, "Eh, hodoh! (jelek!)" dan dia kata, "Abang lagi hodoh sebab potong sunnahRasulullah SAW". Dengan itu suaminya mula simpan janggut. Allah SWT beri wanita kelebihan dan kebijaksanaan untuk bawa agama.

Kepentingan Solat Istikharah





Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.
Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;
Mahfum Hadis: Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”
Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.
Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah-1

Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.

Kisah-2

Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.

Kisah-3

Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.

Kisah-4

Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.
Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.

Kisah -5

Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.

Kisah-6

Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.
Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.
Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.
Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;

Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu).







Terjemahan Doa’ :

Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari hadis riwayat Imam Bukhari)
Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada kita semua.
Wallah hu ‘alam.